Tuesday 1 September 2015

LAGU TEMA HARI KEMERDEKAAN 2015

INGIN DENGAR LAGU TEMA HARI KEMERDEKAAN 2015

SILA KLINK LINK TERSEBUT:
 www.youtube.com/watch?v=alYljQbiIUo

LIRIK LAGU HARI KEBANGSAAN 2015 | #SEHATI SEJIWA 

Demi... tanah yang bertuah
Taman... cinta merdeka..aa
Kasih... di hatiku ini
Untukmu... tanah pertiwi...ii

Dari... utara selatan
Juga... timur ke barat
Turut gagah... Sabah Serawak
Sehati Sejiwa

Chorus
Ku dengar janjimu
Bayu Kinabalu
Ku dengar sumpahmu
Rejang yang membiru
Bersatu denganku
Tegap Titiwangsa
Malaysia Sehati sejiwa

Bridge
Laut luas terbentang
Bukan satu halangan
Untuk kita bersama
Melafaz janji setia
Demi mu Malaysia
Cinta kasih di jiwa
Tidak akan kami khianatinya.

Chorus
Walaupun berbeza
Budaya Agama
Bukanlah penghalang
Kita bergandingan
Marilah bersatu

Sehati sejiwa

Malaysia Kekal Sejahtera...
Korus Iban Kadazan…
(Mi i so ginavo) kadazan
(Kitai Dekak Mujur) iban
( mi i so ginavo)kadazan
(Ngetan Ke Menua) iban
(Mi i soginavo) kadazan
(Nyuluk Cita Mulia) iban

Malaysia Sehati Sejiwa

Thursday 27 August 2015

VIDEO KEMERDEKAAN

DI SINI SAYA SERTAKAN VIDEO KEMERDEKAAN PADA 31 OGOS 1957


TOKOH PEJUANG NEGARA

ANTARA CONTOH TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN NEGARA

1. TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA

Ibarat kata pepatah Melayu ”Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Begitulah ungkapan yang paling bererti untuk mengenang jasa dan sumbangan negarawan ulung Tunku Abdul Rahman Putra. Sepanjang hayatnya, Tunku telah menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin yang berwibawa dalam pelbagai bidang, seorang pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Penglibatan menentang Malayan Union, mengemudi kepimpinan UMNO melalui perubahan slogan dari Hidup Melayu kepada Merdeka, mengatur strategi pakatan antara kaum dengan kerjasama pihak Majlis Raja-Raja Melayu telah membuktikan kepimpinan Tunku sehingga berjaya mencapai kemerdekaan secara aman melalui meja rundingan. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dek nikmat kemerdekaan yang diwarisi sehingga kini dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu merasa terhutang budi kepada Tunku – Bapa Kemerdekaan.

 2. TUN SIR HENRY H.S LEE

 Ketokohan, pengorbanan dan jasa Tun Sir Henry H.S. Lee dalam mencapai perpaduan kaum dan kemerdekaan negara amat terserlah dan perlu dikenang selama-lamanya. Beliau memainkan peranan yang penting dalam penubuhan MCA, perancang utama penubuhan perikatan UMNO-MCA, penentang komunis di zaman darurat dan merupakan pejuang negara semasa menuntut Kemerdekaan Malaya. Apabila Malaya merdeka, beliau telah dilantik sebagai Menteri Kewangan antara tahun 1957 hingga 1959. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau telah menjadi salah satu kebanggaan negara.

 3. TUN V.T. SAMBANTHAN

 Tun V.T. Sambanthan merupakan seorang pejuang daripada masyarakat India yang dilahirkan pada 16 Jun 1919 di kawasan pedalaman di Sungai Siput, Perak. Kepimpinan beliau terserlah apabila dilantik menjadi Presiden Kongres India Malaya ketika berusia 36 tahun. Kemudian Tun V.T. Sambanthan dilantik menjadi menteri penuh dalam pelbagai kementerian. Sepanjang tempoh menjadi menteri kabinet begitu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh Tun V.T. Sambanthan terutama berkaitan dengan perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan dari segi kemudahan kepada rakyat serta semangat patriotisme pada masa itu
.
 4. RENTAP

 Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Pada tahun 1853, beliau merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih Brooke. Rentap atau nama sebenarnya Libau menjadi ketua pahlawan Iban di Skrang dan Sariba. Gelaran Rentap yang bermaksud Ensumbar dalam bahasa Iban atau membuat dunia bergegar diberikan kepada Libau selepas beliau memenggal kepala musuh dalam perang pertamanya. ANTARA CONTOH TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN NEGARA

 5. MAT SALLEH

 Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

 6.TOK JANGGUT

 Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut sampai ke paras dada adalah seorang pahlawan Melayu yang terkenal di Kelantan. Dilahirkan pada 1853, beliau ialah seorang penentang penjajahan British semasa menentang pengenaan cukai oleh pihak British di Kelantan. Beliau juga merupakan tokoh agama Islam yang berjaya menarik sokongan banyak pengikut di Kelantan.

 7. MAT KILAU

 Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau amat mahir di dalam ilmu kebatinan, persilatan dan bermain senjata. Beliau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati oleh penduduk negeri Pahang. Segala cabaran yang berjaya dilalui oleh Mat Kilau semasa menentang pihak British membuatkan pelbagai pihak menyanjung tinggi kepahlawanan beliau.

 8. DATO’ MAHARAJA LELA PANDAK LAM

 Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam ialah seorang pembesar kelapan Perak yang berketurunan Daeng Salili. Beliau adalah anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran “Dato’ Maharaja Lela Tan Lela”, dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Pandak Lam kemudian mengetuai perjuangan menentang British di Perak dan membuat pakatan untuk membunuh James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch), Residen British Perak.

 9. ANTANOM

 Antanom menggerakkan pemberontakan Rundum menentang penjajah pada tahun 1915. Antanom atau Ontoros dilahirkan di kawasan “Masinpunon” sungai Salarom pada tahun 1885 dan berumur dalam lingkungan 30 tahun ketika pemberontakan itu dilancarkan. Antanom adalah anak keturunan Suku Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum murut. Dia dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah ” Pengayau “. Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya. Perwatakan Antanom/Ontoros yang berbadan tegap berambut panjang itu, bila lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak ditangan dan Pailang tersisip dipinggang, dia kelihatan gagah dan mengerunkan. Sikapnya tegas dan tenang dalam menghadapi bahaya. Bila dia telah memutuskan sesuatu, dia akan kotakan kata-katanya dan bertindak dengan penuh keazaman. Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Kompeni Inggeris itu, tetapi lebih kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom mendamai dan menyatupadukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu. Faktor yang menyebabkan tercetusnya penentangan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris didorong oleh beberapa sebab yang telah terkumpul dan menjadi bara. Sejak tahun 1909 gerakan menentang Inggeris sudah dimulakan oleh kaum Murut, tetapi setelah dua orang pemimpinnya terbunuh, Linggam dan Melayak, gerakan penentangan itu terhenti buat sementera waktu. Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris berpunca dari empat perkara utama. Hak mereka dicerobohi, bila ramai daripada pedagang hasil hutan dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan Kuda ) dan merentang kawat telegraph antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah yang diberikan kepada mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai kepala, padi dan tapai juga menyumbang kepada kemarahan mereka. Semuanya ini pada pandangan mereka adalah tidak wajar. Kehidupan mereka yang merdeka dan bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu. Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar buat pertama kalinya seorang Pegawai Daerah Mazwell Hall, membuka setesen di Rundum, sebagai langkah menyekat kegiatan memburu kepala. Seramai tidak kurang 900 orang kaum Murut dari beberapa kawasan, termasuk Tenom, Keningau, Pensiangan dan perbatasan daerah Borneo Belanda, telah menyertai gerakan pemberontakan itu. Dalam pertempuran di kubu induk mereka, Antanom/Ontoros diperdaya dengan gencatan senjata dan niat untuk berdamai, tetapi sebaliknya mata-mata upahan Inggeris telah memenggal kepalanya.

 10. HAJI ABDUL RAHMAN ABDUL HAMID

 Haji Abdul Rahman Abdul Hamid atau lebih terkenal dengan panggilan Tok Limbong atau Abdul Rahman Limbong merupakan salah satu nama besar dalam sejarah Melayu Terengganu. Selain memimpin gerakan yang dikenali sebagai “Pemberontakan Tani Terengganu”, Tok Limbong juga terkenal sebagai seorang ulama dan pendakwah yang dihormati, ahli perniagaan dan pengusaha yang berjaya dan seorang petani yang gigih. Beliau juga pernah tampil untuk membela sekumpulan pejuang yang dilabel Inggeris sebagai pemberontak dan penderhaka raja. Tok Limbong mendalami ilmu keagamaan selepas dihantar oleh keluarganya ke Mekah. Sebelum terbabit dengan kebangkitan penduduk menentang British, Tok Limbong yang dilahirkan sekitar 1880-an di Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu, meluangkan sebahagian besar masanya mengendalikan perniagaan di pesisiran Laut China Selatan dan mengajar agama di beberapa tempat, termasuk di sebuah surau di Kampung Kubang Kurus, dekat Kuala Terengganu. Walaupun surau berkenaan tidak lagi wujud, penduduk setempat mengabadikan sebuah perigi lama di sebelah bekas tapak surau itu dengan nama “Telaga Limbong” kerana air perigi itulah digunakan Tok Limbong untuk bersuci diri setiap kali berada di kampung itu. Pembabitan Tok Limbong dalam penentangan terhadap penjajah bermula apabila beberapa peraturan berhubung pemungutan hasil mahsul tanah dan hutan dikuatkuasakan oleh Sultan Terengganu di bawah tekanan Inggeris di Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun pada sekitar 1921. Di bawah peraturan itu rakyat ditegah menerokai tanah untuk tujuan pertanian dan dikehendaki memiliki pas atau lesen untuk mengambil daun mengkuang untuk membuat tikar, daun lerek dan buluh untuk membuat lemang, daun palas untuk membuat ketupat dan menebang sagu untuk patinya.

 11. TOK GAJAH

 Tok Gajah adalah ayah kepada Pahlawan Melayu Pahang iaitu Mat Kilau. Pada tahun 1891 hingga tahun 1895 telah berlaku pemberontakan Pahang terhadap pemerintah negerinya. Tok Gajah merupakan tokoh yang terlibat bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela menentang penjajah Inggeris. Beliau bertindak menghalau penjajah Inggeris dengan segala tipu helahnya yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai semangat perjuangan yang gigih serta sanggup berdepan dengan askar-askar Inggeris yang lengkap bersenjata. Beliau juga bersama dengan Wan Lingga telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini adalah disebabkan perselisahan faham antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad. Beliau juga menjadi ketua pasukan perang Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris. Golongan ketiga di negeri Pahang yang menjadi pemilik tanah yang penting dan berkuasa di kawasan-kawasan tertentu dikenali sebagai Orang Besar Raja. Golongan ini juga merupakan orang kesayangan istana tetapi bukan berketurunan bangsawan dan dinaikkan pangkat berdasarkan kepada kecekapan serta kemahirannya dalam bidang ketenteraan. Tok Gajah dan Tuan Sheikh Kechil merupakan dua orang tokoh yang terpilih mengikut kategori tersebut. Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris. Beliau merupakan penasihat utama Sultan dalam segala yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu hal-hal yang berhubung dengan kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar.

KEPENTINGAN KEMERDEKAAN

Kemerdekaan membawa makna yang amat besar kepada sesebuah negara, malah dari konteks yang lebih kecil, kemerdekaan amat bermakna kepada diri kita sendiri. Kita akan menjadi tidak selesa jika kita akan dikongkong oleh individu yang lain. Bagi sesebuah negara, kemerdekaan bermaksud segala-galanya dan merupakan umpama sebuah permata yang amat bernilai. Kemerdekaan akan menentukan kedaulatan sesebuah negara. Negara Malaysia adalah sebuah negara yang amat bertuah kerana setelah kita telah dijajah selama beberapa ratus tahun, tetapi kita berjaya memperolehi kemerdekaan tanpa pertumpahan negara, tidak seperti kebanyakan negara-negara lain. Oleh yang demikian, amatlah penting kita menjaganya dengan baik agar segala apa yang kita perolehi pada hari ini tidak terlepas kepada orang lain. Jika kita lihat fenomena pada hari ini, kebanyakan masyarakat kita telah lupa akan menghargai kemerdekaan tersebut. Mereka telah lupa akan titik peluh datuk nenek kita memperjuangkan kemerdekaan. Di atas sikap segelintir pihak ini, negara kita telah hampir dijajah sekali lagi pada tahun 1997. Malah negara kita juga hampir hilang kedaulatan disebabkan penyangak-penyangak mata wang disamping disokong oleh petualang –petualang dalam negara.. Kemerdekaan sesebuah negara adalah milik dan kuasa rakyat negara tersebut. Negara lain atau rakyat negara lain tidak ada kuasa untuk menentukan hala tuju negara kita. Kita boleh lihat bagaimana sesebuah negara di dunia ini tumbang, bukannya daripada faktor bangsa asing tetapi adalah daripada pembelot di dalam negara sendiri. Kalau kita lihat dari konteks sejarah Kesultanan Melaka, bagaimana Melaka boleh jatuh ke tangan Portugis, adalah berpunca daripada pembelot dalam negeri yang berkompromi dengan askar Portugis. Begitu juga dengan kejatuhan Kerajaan Aceh Darussalam yang Angkatan Melayu Pahang telah membantu Belanda menyerang Aceh. Kejatuhan empayar-empayar lain di dunia ini jugak berlaku disebabkan corak yang sama. Peristiwa yang lebih nyata pada hari ini ialah bagaimana Afganistan telah jatuh ke tangan Amerika Syarikat, bukannya disebabkan dengan kekuatan askar AS tetapi adalah dengan pakatan pasukan Perikatan Utara, Begitu juga dengan kejatuhan Iraq pada tahun 1990 kerana Kuwait dan Arab Saudi bekerjasama dengan Amerika Syarikat, di samping kerjasama puak-puak minoriti di dalam negara tersebut. Tetapi jika tidak ada kerjasama ini, maka sesebuah negara tersebut tidak akan dicerobohi. Daripada peristiwa-peristiwa tersebut akan memberi gambaran kepada kita bahawa penting kerjasama perpaduan di dalam negara demi menjaga kemerdekaan. Malaysia sebuah negara yang unik, kerana mempunyai kekuatan perpaduan yang jitu di antara semua kaum besar iaitu Melayu, Cina dan India. Perpaduan yang jitu tersebut telah membangkitkan rasa cemburu di kalangan negara-negara maju, kerana dengan mempunyai penduduk satu kaum sahaja tetapi mereka tidak dapat mewujudkan perpaduan tersebut seperti negara Malaysia. Rata-rata negara berbilang kaum seperti Malaysia tidak dapat wujudkan kestabilan politik seperti kita. Senario pada hari ini amat menyedihkan lagi apabila kita lihat generasi sekarang telah lupa akan menghayati kemerdekaan. Masyarakat hari ini, amat mudah menerima budaya-budaya buruk yang akan membawa kepada gejala buruk dalam masyarakat. Budaya Punk, Hippies, seks bebas telah menjadi sebahagian sebahagian segelintir anggota masyarakat. Dengan penerapan nilai-nilai ini akan melalaikan kepada kepada kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Peranan mengembalilan semangat kemerdekaan ini adalah tanggungjawab semua. Oleh yang demikian saya di sini ingin menyarankan kepada semua, marilah kita semua menyemarakkan lagi kepentingan kemerdekaan kepada semua masyakarat agar kita tidak lupa akan asal usul kita. Pemimpin-pemimpin negara kita yang lalu telah meletakkan asas kemerdekaan yang padu. Contohnya Bapa Kemerdekaan Negara Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat dan dibantu oleh Bapa Pembangunan Negara Allahyarham Tun Abdul Razak, dan kesinambungan ini diterus dengan Bapa Keamanan iaitu Allahyarham Tun Hussien Onn dan Asas ini telah diperkukuhkan lagi dengan pengasas Wawasan 2020 ialah Tun Mahathir Muhamad yang meneruskan kecemerlangan Malaysia hingga dikenali di serta dunia. Sememangnya tidak dapat kita lupakan kepada seorang perjuang kemerdekaan negara iaitu Dato’ Onn Jaafar yang telah menentang penubuhan Malayan Union, di samping pejuang-pejuang lain. Tidak kita lupai jasa-jasa pejuang kemerdekaan yang lain seperti Pendeta Zaaba, Dato’ Hamzah Abdullah, Abdul Rahim Kajai, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestaman, dan ramai lagi. Mereka ini semua pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah memberi keselesaan kepada kita untuk menikmati erti kemerdekaan yang sebenar. Perkara-perkara sebegini haruslah kita sebarkan kepada generasi akan datang supaya mereka sentiasa menghargai kemerdekaan. Kita belum tentu dapat merasai kehidupan seperti sekarang jika individu yang lain menggantikan tempat-tempat mereka ini, dan sewajarnya kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan pemimpin-pemimpin yang bijaksana. Marilah kita sama-sama menghayati kemerdekaan , dan menjaganya seperti nyawa kita sendiri. Seperti kata Tun Mahathir, mengekalkan kemerdekaan itu adalah lebih sukar. Maka sama-sama kita mengisi kemerdekaan yang kita perolehi ini dengan sebaik-baiknya. Sayangilah Negara kita dan hargai perjuangan datuk nenek kita

Tuesday 25 August 2015

SEJARAH KEMERDEKAAN

TANGGAL 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang sebenarnya. Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka. Ia merupakan penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi. Mungkin ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Rakyat Malaysia yang cintakan negara wajar memelihara nama baik negara di mana sahaja mereka berada. Dari sudut keselamatan, maruah dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan tetapi turut dipikul bersama oleh seluruh rakyat. Kemerdekaan ini bukanlah takdir semata-mata tetapi adalah hasil usaha pejuang dan pemimpin terdahulu. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga di dalam diri semangat cintakan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana kita berada.